Selamat Datang ke Blog Pendidikan TunaSastera Rakyat


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Promo Bahan

Dalam halaman ini ada menyenaraikan beberapa sumber-sumber ataupun bahan bacaan yang boleh dimanfaatkan oleh para guru ataupun para pelajar yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu, pengkhususan bagi Sastera Rakyat. Walau bagaimanapun, buku-buku ini juga boleh dimanfaatkan sebagai bacaan umum kepada orang ramai ataupun peminat-peminat seni.

Buku-buku yang di sini telah dinyatakan sumber penulis, tahun dikeluarkan dan hakcipta penerbitannya.



***


A. Samad Ahmad, 1960. Sejarah Kesusasteraan Melayu iii.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Buku ini mengandungi cerita-cerita hikayat pahlawan yang bercorak kebangsaan atau lebih dikenali sebagai cerita-cerita epik. Buku ini turut menyelitkan cerita-cerita berbingkai dan juga cerita-cerita hikayat di tanah Melayu.






Abdul Rahman Napiah, 1994.Tuah-Jebat Dalam Drama Melayu Satu Kajian Intertekstualiti. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buku ini menekankan terhadap drama-drama Tuah-Jebat dengan menggunakan pendekatan intertektualiti  yang melihat kepada penyesuaian, penentangan, perluasan, pengguguran, pengekalan dan nilai-nilai yang ditonjolkan. Bahan seperti ini sangat sesuai sabagai salah satu sumber bahan bacaan kepada pelajar. Ini secara tidak langsung dapat membentuk kemahiran pemikiran para pelajar itu sendiri.







Arena Wati, 1964. Perkembangan Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur, Malaya Publishing House, Ltd.

Bahan-bahan yang terdapat dalam buku ini menekankan kepada perkembangan Kesusasteraan Melayu dari segi pengaruh bahasa iaitu percampuran bahasa asing yang sudah menyerap kedalam bahasa Melayu Nusantara. Di samping itu, membincangkan mengenai dengan cerita yang sudah mengalami tokok tambah mengikut nilai zaman dan masyarakat yang memilikinya iaitu bermula daripada pengaruh zaman Hindu ke zaman Islam. Dalam buku ini, sastera rakyat dilihat secara berperingkat dari zaman ke ruangan masa sehiggalah kepada pengaruh-pengaruh bahasa. 






Alwi Salim,1982. Kajian dan Ulasan Peristiwa-peristiwa Dari Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Pustaka Sistem Pelajaran Sdn. Bhd.

Buku Kajian dan Ulasan Hikayat Hang Tuah ini mengandungi ringkasan dan sinopsis cerita Hikayat Hang Tuah dalam bahasa yang tersusun,  susunan peristiwa penting, perwatakan, latihan dan juga soalan-soalan ulangkaji. Dengan adanya buku seperti ini dapat membantu pelajar memahami, mengingati isi pelajaran serta dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan baik.

 




Annas Haji Ahmad,1964. Sastera Melayu Lama. Kuala Lumpur: Saudara Sinaran Berhad.

Buku ini mengandungi penerangan tentang definisi sastera di sampan menyelitkan cerita-cerita rakyat serta perihal tentang asal usul dan kepentingan puisi melayu lama. Buku ini juga menceritakan dengan lebih lanjut tentang pengaruh kesusasteraan melayu yang telah mengalami tiga zaman iaitu  pengaruh Hindu, zaman peralihan Hindu/Islam dan pengaruh Islam. Di samping itu, Sastera Melayu Lama juga membincangkan tentang kesusasteraan Melayu yang bercorak sejarah, perkembangan kesusasteraan Melayu ketika zaman kerajaan Acheh, kesan-kesan dari kesusasteraan Melayu lama dan perincian tentang undang-undang Melayu lama. Dengan adanya bahan seperti ini, para pelajar dapat memahami dan mendalami perihal sastera dengan lebih baik.






Azman Wan Chik, 1981. Prinsip dan Kaedah Mengajar Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Buku ini dihasilkan dan diterbitkan adalah bertujuan untuk kegunaan dan sumber bacaan bagi  tenaga-tenaga pengajar sastera sebagai salah satu bahan yang dapat membantu memberikan idea-idea, teknik-teknik serta kaedah pengajaran yang lebih berkesan dan bersistematik. Perkara ini turut merangkumi perihal yang boleh dihubungkaitkan dengan pembelajaran Sastera Rakyat.
 





Drs. A. Bakar Hamid, 1983. Diskusi Sastera Jilid I Sastera Tradisi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Buku ini mengandungi satu siri diskusi mengenai dengan kesusasteraan Melayu tradisi. Membincangkan dengan lebih terperinci beberapa bentuk kesusasteraan Melayu tradisi seperti sastera rakyat, puisi lama, kesusasteraan zaman Hindu, cerita-cerita Panji, Kesusasteraan zaman peralihan (Hindu-Islam), kesusasteraan zaman Islam, cerita-cerita berbingkai, sastera falsafah, sastera sejarah, undang-undang dan epik Melayu, Hikayat Hang Tuah dan tentang tokoh raja-raja Haji. Perbincangan yang disampaikan adalah dalam bentuk diskusi dan ini adalah untuk memudahkan pembaca untuk lebih memahami dan mengikuti dengan jelas mengenai dengan bentuk-bentuk kesusasteraan Melayu tradisi.


(Tiada gambar disertakan)






Dr. M. G. Emeis,1988. Bunga Rampai Melayu Kuno. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buku Bunga Rampai Melayu Kuno ini mengandungi kumpulan cerita-cerita dan hikayat serta menyelitkan puisi klasik atau lama. Buku ini adalah salah satu buku teks yang digunakan bagi sekolah-sekolah menengah di Negara Brunei Darussalam.






Harun Mat Piah, 2003. Sastera Rakyat Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam: Suatu Perbandingan. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Buku ini merupakan hasil kajian sastera rakyat yang mencakupi tiga genre iaitu Mitos, Legenda dan Dongeng daripada tig buah negara Asia Tenggara (Malaysia, Indonesia dan Negara Brunei Darussalam). Pengarang buku ini menggunakan pendekatan struktural memperlihatkan persamaan dan perbezaan ketiga-tiga genre ini dalam konteks ekspresi budaya mereka terhadap kehidupan dan alam, di samping sejarah, pengalaman dan harapan.

 




Dr. Ismail Hamid, 1983. Kesusasteraan Melayu Lama Dari Warisan Peradaban Islam. Petaling Jaya Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Dalam buku ini penghuraian tentang sejauhmana peranan ugama Islam dalam merangsangkan perkembangan kesusasteraan Melayu lama adalah ditekankan. Buku ini juga cuba menyimpulkan perihal kesusasteraan Melayu yang dipengaruhi Islam tersebut telah mencetuskan perkembangan kesusasteraan Melayu bercorak tulisan di Tanah Melayu. Kesusasteraan Melayu lama yang dimaksudkan di sini turut melibatkan tentang sastera-sastera rakyat di Alam Melayu ini.

 





Hashim Awg, Othman Puteh, Ramli Isin dan Sahlan Mohd. Saman, 1984. Mendekati Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Buku ini dibahagikan kepada 12 bab dan melibatkan empat orang para pengkaji yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu. Buku ini membicarakan tentang sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu dengan memberikan tekanan kepada konsep kesusasteraan Melayu, sastera lisan, sastera bertulis, pembahagian kesusateraan berdasarkan zaman-zaman tertentu. Selain itu, buku ini juga menghuraikan hal-hal yang berkaitan dengan kritikan sastera, fungsi dan gaya bahasa dalam karya sastera.

 





Kamarudin Haji Husin dan Siti Hajar Haji Abdul Aziz, 1999. Pengajian Melayu 4 Kesusasteraan dan Pengajaran. Selangor Darul Ehsan: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd

Buku ini disusun sesuai untu kegunaan guru yang mengkhususkan pengajian mereka dalam bidang pengajaran kesusasteraan di institusi-institusi keguruan dan di Universiti. Ia bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai pandangan dan pendapat tentang bahan-bahan kesusasteraan, cara-cara mengajarkan bahan kesusasteraan dan penilaian di dalam sesbuah bilik darjah. Pelbagai aspek yang berkaitan dengan kesusasteraan dan potensinya dalam mendidik insan. Buku ini juga boleh dipalikasi oleh guru dalam mengadakan proses pengajaran dan pembelajaran Sastera Rakyat di sekolah-sekolah.






Mohd. Taib Osman, 1991. Pengkajian Sastera Rakyat Bercorak Cerita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buku ini mengandungi bahan-bahan kumpulan esei yang membincangkan tentang kajian terhadap sastera rakyat yang bercorak cerita secara umum dan kegiatan pengkajian cerita rakyat Malaysia di samping membuat penilaian serta rumusan terhadap kajian yang telah dibuat. Buku ini juga membincangkan mengenai kepentingan sastera rakyat sebagai  salah satu alat pendidikan yang lebih beretikal. Buku ini sangat sesuai sebagai bahan bacaaan tambahan bagi para pelajar dan menambah pengetahuan yang sedia ada bagi mereka.






Noriah Taslim, 2004. Hikayat Seri Rama Versi Rakyat Teks dan Proses Lisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hikayat Seri Rama Versi Rakyat: Teks dan Proses Lisan mengetengahkan semula karya sastera klasik. Buku ini memperlihatkan kesan-kesan proses lisan terhadap epik India yang agung. Proses lisan ini telah megubah orientasi cerita dan focus penceritaan hingga menjadikan epik klasik ini sebuah cerita penglipur lara yang tipikal terutama dari susunan plot dan ciri-ciri naratifnya. Buku ini amat sesuai sebagai salah satu bahan rujukan para pelajar dan para pengkaji sastera.






Othman Puteh, 1996. Pengajaran Sastera. Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Buku Pengajaran Sastera ini membincangkan dengan lebih terperinci tentang beberapa situsasi, hakikat dan fenomena jagat maktab perguruan dan institusi-institusi pengajian tinggi. Buku ini bertujuan  menawarkan beberapa alternatif strategi pengajaran sastera yang melibatkan banyak pihak yang bertanggungjawab dan berperanan penting dalam usaha dan upaya melestarikan sekaligus memartabatkan sastera dan pengajaran sastera itu sendiri.







Rozaiman Makmun, 2002. Kajian Komprehensif Hikayat Awang Kamaruddin. Universiti Brunei Darussalam. Negara Brunei Darussalam.

Buku Kajian Komprehensif Hikayat Awang Kamaruddin ini sangat sesuai bagi panduan para pelajar bukan sahaja di sekolah menengah tetapi juga sebagai salah satu sumber rujukan bagi guru-guru terutama sekali dalam pengajaran Sastera Rakyat. Buku ini mengandungi aspek-aspek kajian sinopsis, peristiwa penting, watak, perwatakan, latar, gaya bahasa, tema dan nilai pengajaran secara ringkas dan padat.





 
 Rozaiman Makmun, 2008. Bahtera: Bahan Sastera dalam Pengajaran Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam.

Buku Bahan sastera dalam pengajaran Bahasa sangat sesuai sebagai salah satu panduan bacaan atau sumber rujukan yang berkaitan dengan pengajaran sastera yang mana membincangkan langkah-langkah perlaksanaan dalam pengajaran dengan lebih bersistematik, tersusun dan padat.


 








*****
Buku-buku di atas merupakan antara sumber-sumber bahan yang boleh digunakan untuk para guru, para pelajar malah orang ramai. Terdapat lebih banyak buku ataupun sumber bahan yang boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran ataupun untuk rujukan umum.

Buku-buku di atas boleh didapati di kedai-kedai buku di sekitar Negara Brunei Darussalam ataupun anda boleh merujuknya di perpustakaan-perpustakaan yang terdekat.

Perpustakaan Universiti Brunei Darussalam merupakan salah sebuah perpustakaan yang ada menyediakan kesemua bahan-bahan di atas. Anda boleh melayari laman web ini untuk mengetahui hal selanjutnya:
 
:-)